Tip Asas Pilih Langsir Agar Rumah Tidak Semak
3 Tip Asas Pilih Langsir Agar Rumah Tidak Semak
Oleh: WEB SERI DEWI KELUARGA
Tarikh: 2 Julai 2013
Tidak lengkap rasanya rumah tanpa langsir baru yang sesuai untuk semua jenis ruang di dalam rumah. Langsir bukan hanya berguna untuk menghadang cahaya masuk tetapi berperanan mencantikkan rumah, membahagikan ruang mahupun menutup bingkai tingkap yang tidak menarik. Untuk menaikkan mood menjelang perayaan raya nanti, berikut ada beberapa panduan memilih langsir yang sempurna untuk rumah anda.
UKURAN
Terlebih atau terkurang ukuran akan membuatkan langsir anda nampak 'menggeleber' atau tergantung. Memilih ukuran yang tepat memberikan suasana ruang rumah nampak kemas, teratur dan sedap mata memandang. Sebelum anda mengeluarkan pita ukuran anda, pastikan anda membuat keputusan sama ada mahu memulakan langsir dari panel tingkap atau atas dari tingkap (dari siling). Jika anda mahu memulakan langsir dari siling, ruang rumah akan kelihatan lebih tinggi. Kebanyakan pereka gemar menggantung langsir kira-kira enam inci dari atas bingkai tingkap. Jika mahu lebih dramatik, gantung lebih tinggi. Untuk mengambil ukuran lebar pula, pastikan anda menambah empat hingga lapan inci dari kedua-dua belah langsir supaya apabila anda menyelaknya, ia kelihatan berlipat dan berlapis dengan cantik.
FABRIK
Jenis fabrik adalah penting untuk menentukan kegunaan langsir di dalam rumah anda. Jika anda memilih langsir yang terlalu berat, anda mungkin sukar untuk melipat dengan cantik manakala langsir yang berfabrik ringan pula mungkin tidak akan 'jatuh' dengan cantik. Fabrik jenis sutera dan taffeta memberi kesan licin yang sesuai untuk ruang formal seperti ruang tamu. Langsir berfabrik kapas atau linen lebih cantik apabila mencecah lantai. Selain memikirkan tentang fabrik langsir, jangan pandang remeh tempat penggantung. Langsir biasa seperti mempunyai penyangkut sesuai untuk rod biasa, rod yang mempunyai gelung pula sesuai untuk langsir kasual untuk menampakkan keunikan rod.
WARNA
Memilih warna-warna semulajadi untuk ruang di dalam rumah adalah pilihan tepat kerana membantu anda memadankan warna perabot. Jika ruang rumah anda menerima banyak sinaran matahari, elak langsir warna lembut kerana ia akan cepat pudar. Pilih warna sedikit terang sekurang-kurangnya membantu menghalang cahaya masuk dan langsir lambat pudar. Jika anda tidak mahu langsir bertukar menjadi telus (transparent) apabila lampu dipasangkan, apa kata tambahkan satu lagi langsir tebal hanya untuk kegunaan malam. Apabila siang, anda perlu 'ikat dan gantung' langsir berat dan membiarkan langsir nipis di siang hari.
Siapa kata penggunaan langsir hanya menutup tingkap? Langsir juga penting untuk ruang rumah menjadi lebih luas. Tinggal beberapa hari lagi hendak menyambut Ramadhan, takut nanti langsir tidak sempat dijahit. Sekurang-kurangnya panduan ini diharap serba sedikit membantu anda memilih langsir yang sudah siap tanpa perlu memeningkan kepala. Jangan semakkan lagi rumah dengan pemandangan yang kacau bilau.